KERAJAAN AKAN LANCAR INISIATIF TETINGKAP TUNGGAL PADA 2024
- by Yun
Pautan
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) – Kerajaan akan melancarkan inisiatif Tetingkap Tunggal (Single Window) tahun depan, ia merupakan sistem penyampaian tunggal awam dengan penglibatan dan intervensi daripada 14 pemegang taruh dalam ekosistem pemula niaga (startup) negara.
Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan lnovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata inisiatif melibatkan kerjasama Kementerian Kementerian Sains, Teknologi dan lnovasi (MOSTI) dan Kementerian Ekonomi itu berperanan sebagai satu tadbir urus baik yang telus dalam menyelaras aktiviti pembiayaan dan pembangunan kapasiti serta meningkatkan prestasi dan visibiliti syarikat pemula niaga tempatan.
“lnisiatif berkenaan digarap dengan pendekatan keseluruhan kerajaan dengan menyatupadukan penggiat syarikat pemula niaga melalui kordinasi menyeluruh dan bersepadu menerusi 14 agensi berkaitan.
“Agensi berkenaan adalah Khazanah Nasional Bhd; Kumpulan Modal Perdana;Malaysia Debt Ventures Bhd; Malaysia Digital Economy Corporation; Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP); Malaysian Industrial Development Finance Bhd dan Malaysian Investment Development Authority,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Arthur berkata pemegang taruh lain termasuk Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation; Malaysian Technology Develoment Corporation (MTDC); Penjana Kapital Sdn Bhd; Securities Commission Malaysia; SME Corporation Malaysia; Unit Peneraju Agenda Bumiputera dan VentureTECH.
Justeru, MAVCAP dan Kementerian Ekonomi sedang dalam proses penyediaan kertas kerja untuk menambah baik sokongan kepada industri dana modal teroka dan syarikat pemula naiaga melalui cadangan intervensi berkenaan yang menyeluruh.