Kerajaan mahu lebih ramai belia turut serta memimpin agenda kelestarian
- by XM Admin
Pautan
KLANG: Kerajaan berhasrat lebih ramai belia memimpin agenda kelestarian negara sejajar dengan usaha memperkasa Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, Kementerian Ekonomi kini sedang merangka pelan tindakan dan pemantauan untuk memperkasakan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Menurut beliau, ia juga bertujuan mencapai sasaran yang ditetapkan melalui 17 Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG.
“Agenda Pembangunan Mampan ini pastinya memerlukan penglibatan dan usaha gigih serta menyeluruh dan inklusif daripada seluruh warga Malaysia.
“Justeru, bukan sahaja tahap kesedaran di peringkat akar umbi harus dipertingkat, ia perlu dizahirkan dengan tindakan dan perbuatan,” katanya selepas majlis pelancaran Festival Alam Sekitar pada Sabtu.
Mengulas berkenaan Festival Alam Sekitar 2023 (FAS 2023), beliau berkata, program berkenaan selaras dengan matlamat SDG ke-13 iaitu memperkasa dan mempertingkat literasi terkait tindakan iklim.
“Program sebegini pastinya dapat menterjemahkan kesedaran dan pemahaman yang kita ada kepada tindakan dan perbuatan yang menyumbang menjadi impak positif kepada alam sekitar di sekeliling kita.” ujarnya.
FAS 2023 merupakan acara mempromosi kelestarian alam yang memfokuskan perkongsian berkenaan kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Antara aktiviti yang berlangsung termasuk aktivti pembersihan dan penanaman pokok bakau, kitar semula baju dan minyak masak terpakai serta sesi perkongsian berkenaan bahaya jejak karbon.
Acara tahunan itu dianjurkan secara bersama oleh Kelab Belia Prihatin Malaysia dan WWF-Malaysia dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Airasia Grocer, Majlis Perbandaran Klang dan Selangor Maritime Gateway.