DF Automation and Robotic intai peluang pasaran robotic India, Singapura

Bernama – 30 Okt 2021

JOHOR BAHRU, 30 Okt — DF Automation and Robotics Sdn Bhd kini mengintai peluang di India dan Singapura untuk memasarkan produk mereka berikutan potensi dan permintaan yang tinggi di kedua-dua negara berkenaan.

Pengarahnya Dr Yeong Che Fai berkata syarikat itu bercadang meningkatkan kehadirannya di pasaran negara-negara itu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Menurutnya, berdasarkan statistik oleh World Robotics, India mencatatkan peningkatan berterusan dari segi penggunaan robotik manakala Singapura turut mempunyai kadar ketumpatan robot yang tinggi.

“Disebabkan itu, kami bercadang untuk meningkatkan kehadiran di negara-negara ini — India dan Singapura,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Taman Impian Emas, di sini hari ini.

Terdahulu, delegasi Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus dibawa melawat fasiliti dan kilang DF Automation and Robotics serta mendengar taklimat mengenai produk dan teknologi terbaharu syarikat itu.

Menurut Yeong, berikutan pandemik, terdapat permintaan yang tinggi daripada sektor pergudangan dan logistik disebabkan kekurangan tenaga kerja dan prosedur operasi standard yang dipertingkat.

“Sebenarnya, ada satu segmen robot yang kita lihat sangat perlu dalam industri kita iaitu dalam pergudangan dan logistik. Pada tahun ini dan tahun hadapan misalnya, kita lihat ada banyak permintaan untuk mengangkat palet dengan berat sehingga satu hingga dua tan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata potensi robot juga dapat dilihat dalam sektor dan industri lain misalnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Jika kita lihat pasaran robot automobil, ia boleh mencapai sehingga US$222 bilion menjelang 2025. Ini adalah pasaran yang besar. Robot automobil bukan untuk satu industri sahaja, tetapi untuk pembuatan, perkhidmatan gudang dan banyak lagi.

“Itulah sebabnya kita ingin berada dalam segmen ini. Malah, saya rasa penting untuk Malaysia memerlukan teknologi ini,” katanya.

Setakat ini, syarikat ekosistem MTDC itu telah menjual lebih 300 robot di pelbagai negara dan mempunyai lebih 10 paten yang telah didaftarkan.

Sementara itu, Norhalim berkata MTDC sentiasa bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi memastikan pembangunan yang berterusan dalam industri robotik tempatan.

“Dalam konteks ini, kita cuba membangunkan sebanyak mungkin syarikat robotik tempatan. Di MOSTI dan MTDC, kita bekerjasama dengan syarikat robotik tempatan ini untuk mereka mendapat dana dan pelaburan.

“Malah, kita juga melabur kepada syarikat ini beberapa kali. Kita juga ingin menggalakkan kerjasama kerana tidak semua kita boleh lakukan sendiri,” kata beliau.
— BERNAMA