UiTM bangun usahawan pertanian berteknologi
- by XM Admin
SHAH ALAM: Teknologi dalam pertanian kini antara elemen inovasi penting yang berpotensi untuk diterokai belia sebagai bidang karier yang boleh diceburi pada masa hadapan.
Justeru, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif memperkukuhkan bidang usahawan tersebut melalui program berbentuk Agro-preneur yang sudah pun dilaksanakan sejak 2021.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, program yang dirancang ini juga akan melibatkan penggunaan teknologi terkini iaitu sistem solar dalam keseluruhan perlaksanaan operasi bagi mewujudkan elemen inovasi.
Menurutnya, program yang dilaksanakan melalui Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MASMED) itu merupakan inisiatif UiTM Signature Program dan melibatkan gabungan projek usahawan vendor solar, fertigasi dan madu kelulut yang ditaja oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).
“Matlamat projek ini bertujuan memampankan pembangunan keusahawanan pada peringkat universiti seterusnya menyahut Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030). Dasar ini berfungsi menyokong pembangunan komuniti keusahawanan yang inklusif dan kompetitif.
“Dengan peluang yang diberikan oleh pihak MTDC untuk menaja sepenuhnya Projek Smart Agro-Solarpreneur ini, UiTM dengan penuh rasa bertanggungjawab cuba memastikan setiap sokongan dan sumbangan diberikan direalisasikan melalui siri kejayaan,” katanya selepas melancarkan melancarkan Program Smart Agro-Solarpreneur, hari ini.
Beliau menambah, program tersebut dilaksankan di bawah pemantauan Akademi Perusahaan Kecil dan Sederhana, MASMED dan UiTM Cawangan Terengganu, serta disertai oleh 10 orang alumni usahawan yang terpilih.
“Para peserta ini akan menjalani latihan praktikal selama 2 bulan di pusat latihan di UiTM kampus Dungun. Sepanjang tempoh latihan, para peserta akan didedahkan kepada proses ketiga-tiga bidang Fertigasi, Solar dan Kelulut. Para peserta akan dibimbing oleh pakar yang mahir dan berpengalaman dalam bidang agroteknologi,” ujarnya. – UTUSAN