MTDC biaya Biogenes untuk pengkomersialan teknologi aptamer
- by XM Admin
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Pembangunan Ekuiti Sdn Bhd (PESB) hari ini memeterai perjanjian dengan Biogenes Technologies Sdn Bhd untuk pengkomersialan teknologi aptamer.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata Biogenes juga menjadi syarikat pemula pertama yang menyiapkan NTIS Sandbox Fund 1 yang diwujudkan pada 2020.
“Atas kejayaannya, ia akan terus dibiayai di bawah NTIS Sandbox Fund 3, yang membolehkan syarikat itu menguji penyelesaian diagnostik penjagaan kesihatannya dengan menggunakan sampel sebenar,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.
Biogenes akan meneruskan perjalanan untuk mengkomersialkan diagnostik penjagaan kesihatannya di Asia Tenggara menerusi perjanjiannya dengan PESB.
Hazani menjelaskan lagi, NTIS merupakan inisiatif utama di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Jangka Pendek untuk mempercepat serta mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.
NTIS bertujuan memudahkan syarikat mengesahkan teknologi dan pasaran mereka dalam persekitaran yang selamat sebelum mereka mengkomersialkannya, katanya.
“Ia terbuka kepada semua individu, usahawan atau penyelidik yang membangunkan teknologi tempatan, dan ia mestilah sebuah syarikat Malaysia.
“Sehingga kini, 24 syarikat telah menamatkan program NTIS mereka dan 21 syarikat lain mempunyai keupayaan untuk pergi ke peringkat seterusnya,” katanya sambil menambah MTDC telah meluluskan pembiayaan kepada 98 syarikat, dengan sejumlah 166 permohonan sejak 2020.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biogenes Tang Kok Mun berkata syarikat itu bertukar memorandum perjanjian dengan PESB untuk memperoleh pelaburan Siri A bernilai RM25 juta.
Biogenes akan melabur dalam kemudahan pembuatan gred perubatan, memajukan portfolio teknologinya termasuk mengembangkan jangkauan jualannya di rantau Asia Tenggara dan bahagian lain di dunia.
Tang berkata syarikat itu menyasarkan untuk mempunyai kapasiti bagi menghasilkan 10 juta kit ujian setiap tahun untuk membawa era baharu dalam penyelesaian diagnostik berasaskan aptamer.
Beliau berkata Biogenes adalah yang pertama di dunia yang mereka bentuk aptamer menggunakan komputer dan mengujinya secara klinikal dengan kerjasama Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Universiti Sains Malaysia.
“Kami melakukannya tanpa menggunakan haiwan dalam pengeluaran dan menggunakan kaedah mampan yang boleh diulang serta diskalakan,” katanya.
— BERNAMA