EM Watch mudahkan pemantauan pesakit secara maya selepas discaj
- by XM Admin
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan pemantauan dan teleperubatan pesakit secara maya selepas discaj (EM Watch) akan diperluas ke jabatan dan hospital di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kemudahan yang dilaksanakan secara rintis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh mendapat maklum balas positif daripada 926 pesakit, setakat 31 Oktober lalu.
Katanya, sejak diperkenalkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma kedua-dua hospital utama itu pada 8 Februari 2021 ia telah menjalani kajian soal selidik maklum balas pada Mac hingga September tahun lalu tentang penerimaan pesakit terhadap khidmat EM Watch berdasarkan lima domain.
“Lima domain tersebut adalah kegunaan dan keberkesanan, kemudahan menggunakan aplikasi cHeart sebagai medium, kebolehpercayaan servis berkenaan, kualiti interaksi, dan kepuasan pelanggan kebarangkalian terlibat servis di masa hadapan.
“Hasil kajian mendapati maklumbalas positif diperolehi apabila kelima-lima domain mendapat markah kepuasan melebihi 87 peratus.
“Khidmat ini diharap dapat diperluaskan ke jabatan-jabatan lain di hospital besar seluruh negara selepas ini pada masa akan datang berdasarkan keberkesanan yang kita perolehi daripada pesakit kita,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran EM Watch di HKL, di sini, hari, ini.
Hadir pada majlis Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh dan Pengarah HKL, Datuk Dr. Rohana Johan.
Khairy berkata, EM Watch merupakan perkhidmatan telekonsultasi perubatan kecemasan yang memberikan kesinambungan rawatan perubatan setelah seseorang pesakit didiscaj dari hospital dengan membolehkan pemantauan kendiri di rumah beserta bimbingan doktor perubatan kecemasan dengan selamat secara maya.
Tambahnya, perkhidmatan yang menggunakan aplikasi cHEART dapat mengurangkan beban pesakit khususnya pesakit berusia, mengalami kekangan pergerakan berkerusi roda dan mereka yang tinggal jauh dari hospital mendapatkan rawatan yang sama sepertimana ketika berada di hospital.
Menurutnya, tarikh temujanji pemantauan pesakit akan ditentukan oleh doktor di hospital sebelum mereka didaftarkan dalam aplikasi cHEART yang perlu dimuat turun dalam telefon bimbit.
Pesakit akan dihubungkan dengan panggilan maya untuk berkomunikasi dengan seseorang pesakit, ujarnya.
Khairy berkata, pesakit yang menjalani pemantauan dari rumah menerusi sistem EM Watch boleh mendapatkan surat rujukan hospital jika perlu, keputusan perubatan, e-preskripsi ubat, sijil cuti sakit, hasil ujian darah dan sebagainya secara maya.
“Inisiatif berkenaan juga mengurangkan kesesakan dan berupaya mengurangkan kubikel untuk keutamaan pesakit yang lebih kritikal di hospital selain proses temujanji susulan turut memudahkan pesakit mendapatkan rawatan susulan menerusi video telekonsultasi tanpa hadir ke hospital.
“Melalui aplikasi sama, pesakit diberi peluang menyimpan rekod perubatan mereka selagi mana sejajar dengan garis panduan KKM berbanding maklumat dalam sistem informasi yang hanya terhad kepada hospital sahaja selama ini,” jelasnya.
Perkhidmatan EM Watch adalah projek yang dilaksanakan di bawah National Technology and Innovation Sandbox yang merupakan pelan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) oleh kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19. – MalaysiaGazette
Tagged my, zmalaysiaGazette