MDEC, MTDC bina ekosistem syarikat teknologi
- by XM Admin
CYBERJAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menyokong pembangunan ekosistem syarikat Malaysia terus berkembang maju.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata MoU itu memperkukuh kerjasama antara dua agensi kerajaan berkenaan dengan sasaran untuk memangkinkan pertumbuhan syarikat teknologi Malaysia.
“Menerusi MoU ini, kami dapat memastikan bukan sahaja capaian, kecekapan serta impak yang lebih baik kepada ekosistem teknologi negara, malahan meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai MoU antara MDEC dan MTDC di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus.
Sementara itu, Norhalim berkata, kerjasama itu bakal menjadi platform kepada MTDC Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk bekerjasama dengan syarikat dan rakan kongsi di bawah MDEC iaitu ahli komuniti MTDC Co9P yang membantu syarikat dalam sektor Revolusi Perindustrian 4.0 dan digital.
“Peluang untuk bekerjasama dengan syarikat di bawah MDEC adalah sebahagian daripada usaha kami mengembangkan Co9P ke kawasan lain di Malaysia dan menawarkan peluang untuk membina hubungan dengan rakan kongsi globalnya melalui khidmat nasihat perniagaan dan MDEC sebagai rakan kongsi strategik kami,” katanya.
MDEC dan MTDC berpeluang mencatatkan pencapaian yang lebih ketara berdasarkan rekod kejayaan sejak penubuhan MTDC pada 1992 dan MDEC pada 1996.
Menerusi MoU itu, MDEC dan MTDC akan berusaha membangunkan program pembangunan usahawan berasaskan teknologi secara bersama serta mempromosikan teknologi digital dan adaptasi dalam kalangan syarikat pemula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil sederhana (PKS).
Selain membuka lebih banyak kemudahan pembiayaan dan peluang kepada syarikat teknologi, kerjasama antara MDEC dan MTDC akan mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan secara sinergi bagi memastikan capaian dan impak yang maksimum.
Tagged my, zberitaHarian