UiTM ketengahkan produk inovasi untuk industri

Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menonjolkan produk hasil inovasi terpilih untuk dipamerkan dan dinilai potensi pengkomersilan oleh panel industri menerusi program Biz.spotlight 2023.
Pautan


Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Norazah Abd Rahman (kanan) diirngi Pengarah BITCOM, Prof Madya Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar (kiri) melawat pameran selepas merasmikan Majlis Penutup Biz Spotlight di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menonjolkan produk hasil inovasi terpilih untuk dipamerkan dan dinilai potensi pengkomersilan oleh panel industri menerusi program Biz.spotlight 2023.

UiTM mengambil inisiatif kolaborasi dengan menjemput pihak industri untuk menerokai potensi inovasi dan produk hasil penyelidikan UiTM yang berpotensi untuk diketengahkan.

Pengarah Business Innovation & Commercialization Centre (BITCOM), Prof. Madya Dr. Sabirin Zoolfakar berkata, program yang julung kali diadakan itu dalam usaha memartabatkan hasil penyelidikan dan inovasi UiTM ke arah menjadi universiti yang dikenali dunia (GRU2025).

“Produk hasil penyelidikan dan inovasi daripada pelbagai bidang ini mampu memberikan manfaat positif dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan memenuhi keperluan negara.

“Program Biz.spotlight 2023 ini juga inisiatif universiti dalam meningkatkan kerjasama antara UiTM dengan industri terutamanya agensi yang terbabit dalam pengkomersialan di Malaysia antaranya MTDC, Cradle Fund, MRANTI, Leave a Nest, YIM dan lain-lain agensi,” katanya tadi.

Jelas beliau, program Biz.spotlight 2023 yang berlangsung di Dewan Anjung Seri Budiman selama dua hari bermula semalam adalah program bawah pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (TNCPI).

“Selain pameran produk-produk inovatif, acara ini turut menyaksikan pelbagai demonstrasi hasil penyelidikan dari seluruh cawangan UiTM.

“Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih memahami kepakaran dan inovasi yang dihasilkan oleh pakar akademik UiTM dalam program biz.spotlight 2023,” katanya.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inonvasi), Professor Dr Norazah Abd Rahman ketika ucapan perasmian penutup berkata, penganjuran Biz.sportlight 2023 membuktikan kerjasama antara UiTM dan rakan industri terbentuk dengan baik dan perlu dilestarikan demi menyokong kelansungan penerokaan ilmu dan penemuan baharu di institusi pengajian tinggi.

“Hasil penyelidikan dan inovasi yang dipamerkan di sini semalam, mencerminkan usaha gigih penyelidik UiTM dalam merangkumi pelbagai bidang yang merentasi Malaysian Science, Technology, Innovation and Economic (MySTIE) Framework.

“Produk ini tidak hanya memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga sejajar dengan keperluan Malaysia.

“Di sini saya melihat bagaimana UiTM berperanan sebagai sebuah universiti atau gedung ilmu bagi penghasilan ilmu pengetahuan dan inovasi yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.