BELANJAWAN 2024 PERLU FOKUS PADA MEMPERKUKUH EKOSISTEM SYARIKAT PEMULA
- by XM Admin
Pautan
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Kerajaan perlu memberi fokus kepada pengukuhan ekosistem ‘startup’ atau industri pemula dalam Belanjawan 2024, bagi memastikan Malaysia mampu melahirkan lebih banyak syarikat pemula persendirian, sekali gus membantu merangsang ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Mohammad Hazani Hassan berkata langkah itu bukan sahaja melibatkan pembiayaan, tetapi haruslah dilaksanakan secara holistik untuk membantu syarikat tersebut bertahan.
“Ia tidak patut mengenai pembiayaan sahaja tetapi mesti fokus pada ekosistem, inkubasi, pemacu dan lebih banyak bakat, kerana kebanyakan masalah dengan syarikat teknologi ialah kita ada bakat (tapi tidak mencukupi), oleh itu kita mesti hasilkan lebih banyak bakat.
“…perkara kedua ialah penasihat. Bagaimana hendak membantu mereka ini kerana melihat kepada syarikat pemula biasanya hanya ada orang (yang mahir) teknikal. Apabila ia memasuki bidang perundangan, kewangan, tiada yang mahir. Dia tahu dia ada produk, dia ada pasaran.
Tetapi bagaimana kerajaan dan agensinya mahu menyediakan (perkhidmatan) kepada keseluruhan sistem,” katanya kepada Bernama.
Mohammad turut mencadangkan agar kerajaan menumpukan pada program ‘sandbox’ bagi membantu teknologi baharu muncul dalam mendapatkan pengesahan yang diperlukan untuk menembusi pasaran.
(Program ‘sandbox’ ialah program menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam persekitaran secara langsung.)
“Program sandbox akan menjadi sangat penting, kerana untuk kita membawa masuk teknologi ke dalam pasaran kita perlu melakukan pengesahan (pengesahan teknologi dan pasaran) dan tentunya kawal selia.
“Sebaik sahaja kita mempunyai lebih banyak syarikat pemula, lebih ramai dalam industri pemula, kita boleh bawa masuk lebih banyak teknologi. Jadi ia seperti Lembah Silikon. Oleh itu, hasrat saya ialah untuk mempunyai lebih banyak syarikat pemula di Malaysia kerana dengan itu kita boleh mempunyai beberapa syarikat pemula persendirian yang baik,” katanya.
Beliau berkata bidang lain yang memerlukan perhatian kerajaan ialah teknologi makanan dan industri semikonduktor.
Sementara itu, CEO Kumpulan MERAQUE (Meraque) Razalee Ismail berkata Belanjawan 2024 perlu menumpukan pada menyediakan pembiayaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), dari segi pinjaman mudah atau geran kepada inovator dan syarikat pemula.
Beliau berkata ini kerana sifat R&D yang sukar membabitkan masa dan kos yang boleh memberi kesan kepada daya maju teknologi baharu muncul.
“… kami perlukan peruntukan untuk R&D, jadi kalau boleh lebihkan kepada R&D, maka kami boleh membangunkan lebih banyak teknologi yang mana kita sekarang ini import dari China dan negara lain,” katanya.
CEO BATERIKU (M) Sdn Bhd Azarol Faizi berharap kerajaan boleh membantu dengan mengurangkan kos mengimport susulan turun naik kadar pertukaran mata wang asing atau forex.
Katanya kebanyakan syarikat tempatan terpaksa mengeluar belanja besar untuk kos forex, sekali gus menghalang mereka daripada menawarkan harga produk yang lebih rendah.
“Dan ini juga termasuk kos-kos pengangkutan dan pelbagai lagi sebab kami runcit dan apabila kami menjual kepada pelanggan di luar kami akan kenakan kos-kos logistik dan kos operasi dan itu akan menjejaskan kami.
“Saya harap kerajaan boleh bantu untuk kurangkan kos operasi and kos (lain) untuk memudahkan kami bagi barang yang betul-betul (harga) Rahmah,” katanya.
Belanjawan 2024 akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Okt ini.
— BERNAMA