MTDC mahu usahawan kuasai teknologi
- by XM Admin
Pautan
KUCHING, 6 Julai: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menerusi program Road2Growth (R2G) 2023 komited dalam melahirkan lebih ramai usahawan dari Sarawak yang menguasai teknologi terkini.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata, melalui program R2G, peserta dapat mengadaptasi teknologi baharu yang kemudian boleh mewujudkan ekosistem perdagangan teknologi yang memberi impak positif kepada usahawan.
Oleh itu, semua pihak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu membangunkan produk dan perkhidmatan yang boleh kekal relevan dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
“Kita di MTDC tidak bergerak secara bersendirian sebaliknya kita mewujudkan kerjasama dan dalam hal ini SDEC memainkan peranan yang penting ke arah pembangunan teknologi dinegeri ini.
“Kita boleh mengkomersialkan teknologi, membangunkan teknologi baru dan dalam pada masa yang sama kita boleh cipta dan mendapatkan teknologi baru dan dengan itu sudah tentu ia akan meningkat kapasiti dan keupayaan kita,” kata Hazani pada sidang media selepas pelancaran program R2G di sini, pada Rabu.
Tambah Hazani, Acara Road2Growth dapat membantu usahawan dapat meningkatkan perniagaan terutama dalam industri 4.0.
“Di MTDC kita ada menyediakan pembiayaan, kita ada pelaburan, program khidmat nasihat dan selain itu ada komuniti CO9P (Centre of 9 Pillars) dan juga program latihan yang ditawarkan kepada usahawan teknologi,” ujarnya.
Pada majlis sama, MDTC turut mengumumkan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Kerjasama ini bertujuan mencipta hubungan rapat dengan pihak akademik dan industri menerusi pertukaran ilmiah dan pengalaman dengan projek perintisnya adalah menubuhkan pusat mesin retrofit di fakulti kejuruteraan UNIMAS. – TVS