MTDC komited lahirkan lebih ramai teknousahawan di Sarawak
- by XM Admin
Pautan
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menerusi Program Road2Growth (R2G) 2023 komited untuk melahirkan lebih ramai teknousahawan di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata, dengan kerjasama dan komitmen tersebut, syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana yang terlibat dapat mengadaptasi teknologi baharu seterusnya mewujudkan ekosistem yang memberikan pulangan ekonomi positif.
Ujar Hazani, semua pihak termasuk industri kecil dan sederhana perlu membangunkan produk perkhidmatan untuk revolusi perindustrian keempat (4IR) supaya kekal relevan dalam bidang perniagaan.
“Ia bukan berkenaan ekonomi semata-mata.Kita melihat kepada pembangunan sumber manusia dan ekosistem sedia ada.
“Kita mahu bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita di MTDC tidak bergerak secara bersendirian sebaliknya kita mewujudkan kerjasama dan dalam hal ini SDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak) memainkan peranan yang penting ke arah pembangunan teknologi di negeri ini.
“Seperti yang saya katakan tadi kita boleh mengkomersialkan teknologi, membangunkan teknologi baharu dan dalam pada masa yang sama kita boleh cipta dan mendapatkan teknologi baharu dan dengan itu sudah tentu ia akan meningkat kapasiti dan keupayaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh media semasa menghadiri Majlis Pelancaran MTDC Road2Growth di Hotel Riverside Majestic pada Rabu.
Tambah Hazani, program Road2Growth dapat membantu usahawan meningkatkan perniagaan terutama dalam industri 4.0.
“Di MTDC kita ada menyediakan pembiayaan, kita ada pelaburan, program khidmat nasihat dan selain itu ada komuniti CO9P dan juga program latihan yang ditawarkan kepada usahawan tekno (teknousahawan),” ujarnya.
Sementara itu dalam majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Sudartono Osman, berkata pihaknya sudah mengenal pasti tiga syarikat utama yang akan menyertai makmal prototaip yang akan meningkatkan pertumbuhan Industri Revolusi 4.0 di negeri itu.
“Makmal prototaip kita sudah kenal pasti iaitu Perindustrian di Bintawa yang dikenali sebagai Pusat Komersial Royal Bay.
“Kita dah kenal pasti tiga syarikat utama dalam bidang perubatan, robotik dan bidang pengubahsuaian. Kita pilih bidang ini kerana ia merupakan industri semasa dengan menggunakan peralatan terkini dan sudah tentu ia akan memudahkan teknousahawan adaptasi ke arah pendigitalan,” ujarnya.
Dalam Majlis R2G juga pengumuman berkenaan perkongsian strategik antara MTDC dan UNIMAS berlangsung.
Perkongsian itu bertujuan untuk mencipta hubungan di antara pihak akademik dan industri menerusi pertukaran ilmu dan pengalaman dengan projek perintisnya adalah dengan menubuhkan Pusat Mesin Retrofit di Fakulti Kejuruteraan UNIMAS.