Makmal Prototaip IR4.0 pertama Sarawak beroperasi hujung tahun ini.
- by XM Admin
Pautan
KUCHING: Makmal Prototaip Revolusi Industri Keempat (IR4.0) yang pertama di Sarawak dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Makmal yang dibina di pusat Komersial Bay Royals, kawasan perindustrian Bintawa di sini, merupakan batu loncatan untuk Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Sudarnoto Osman berkata, penubuhan makmal tersebut juga bertujuan untuk memacu inisiatif pendigitalan negeri dalam pelbagai sektor.
“Makmal prototaip ini dijangka bermula dengan tiga syarikat utama yang telah dikenal pasti, khusus dalam bidang teknologi perubatan, robotik, dan pengubahsuaian.
“Sementara pemilihan lokasi tersebut adalah kerana ia memudahkan proses transisi ke pendigitalan dengan adanya industri semasa dan peralatan sedia ada.
“Ia hanya memerlukan kita mengubah suai peralatan semasa untuk memaksimumkan penggunaan data dan meningkatkan kecekapan pengeluaran. Pendekatan ini akan memudahkan peralihan yang lebih lancar kepada pendigitalan, sekali gus mengurangkan cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Road2Growth 2023: Mempercepatkan Pertumbuhan IR4.0 Sarawak di sini, hari ini.
Untuk rekod, makmal prototaip yang ditempatkan dalam Perkampungan Digital TEGAS itu merupakan kerjasama dengan MTDC, bertujuan menyediakan teknologi, pakar dan program pembangunan kapasiti tempatan untuk memupuk ekosistem IR4.0 yang komprehensif.
Dilancarkan pada 13 Jun 2022, tiga syarikat utama yang terlibat adalah 3D Gens Sdn Bhd, T- Robot dan Akar Indah Engineering Sdn Bhd.
Hadir sama, Lembaga Pengarah MTDC Christina Foo, CEO MTDC Mohammad Hazani Hassan dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Unimas Prof Ir Dr Siti Noor Linda Taib.