NTIS perkasa penginovasi tempatan komersial produk
- by XM Admin
Pautan
Kuala Lumpur: Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) berjaya menyokong penginovasi tempatan untuk mengkomersialkan produk, teknologi dan inovasi tempatan.
Selain itu, NTIS juga adalah kemudahan yang membolehkan penyelidik, syarikat pemula dan usahawan berteknologi tinggi untuk menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam persekitaran secara langsung.
NTIS yang dilancarkan pada 19 Ogos 2020 diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai sekretariat utama disokong oleh MIMOS Berhad, Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan Futurise Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar, berkata jawatankuasa NTIS sudah bekerja keras untuk menambah baik strategi dalam peralihan produk berasaskan teknologi secara berkesan ke arah pengkomersialan.
“Dengan ujian tekanan dan sokongan dari segi pengawalseliaan, jangka masa untuk pemasaran sesuatu produk boleh disingkatkan. Penyelesaian teknologi tempatan juga boleh diakses lebih banyak industri oleh komuniti tempatan dengan mudah,” katanya.
Pengujian langsung
Program NTIS juga menyediakan laluan pantas untuk pembangunan dan pengujian langsung berasaskan penggunaan atau penggerak teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi dron, teknologi sensor dan infrastruktur 5G dalam menyelesaikan permasalahan negara.
Antaranya seperti pengujian pembangunan dron di dalam persekitaran selamat yang dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta penggunaan pembayaran elektronik (cashless payment) untuk cukai kastam dengan menggunakan sistem di bawah Akta Cukai kastam.
Selain itu termasuk penghantaran import atau eksport barangan serta penggunaan robot bagi menggantikan tenaga manusia dengan ujian keselamatan di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
NTIS turut menyasarkan untuk membangunkan dua lagi sandbox pada tahun ini, menyelaraskan 70 syarikat pemula serta membantu 20 produk atau penyelesaian untuk dikomersialkan.
“Ini juga sejajar dengan sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, di mana NTIS dijangka mengkomersialkan 100 produk menjelang 2025,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata sebanyak RM51.8 juta berjaya diperolehi daripada hasil jualan 24 inovasi yang berjaya dikomersialkan melalui NTIS.
“NTIS ditubuhkan selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Nasional (DSTIN) 2021-2030, seiring dengan usaha MOSTI untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dan, meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Selain itu ia turut meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Pendapatan Negara Kasar (PNK), meningkatkan penyertaan, pelaburan dan kerjasama dalam penyelidikan oleh sektor swasta serta meningkatkan kadar pengkomersialan negara,” katanya pada Majlis 2 Tahun Kemajuan NTIS bagi meraikan pencapaian dua tahun NTIS, baru-baru ini.
Disokong 50 rakan kongsi
Di samping bantuan dana, program NTIS juga memudahkan kawal selia bagi 43 kes dengan 18 agensi kerajaan.
“Program NTIS turut disokong oleh 50 rakan kongsi dalam Rangkaian Pecutan Inovasi yang menawarkan teknologi, tapak ujian dan mekanisme pembiayaan. Kira-kira 50 peratus syarikat yang melalui program NTIS telah memajukan penyelesaian mereka dalam sektor agritech, medtech, biztech dan fintech.
“Sebanyak 10 tapak sandbox juga telah diwujudkan setakat ini dengan peruntukan bagi penyelesaian perubatan dan penjagaan kesihatan, pertanian dan perhutanan, bandar pintar dan pengangkutan, pembuatan pintar, alam sekitar biodiversiti serta lain-lain,” katanya.
Lih Kang turut berkata, peluang pekerjaan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang atas kegigihan penginovasi di Malaysia yang kini semakin rancak.
“Sebanyak 244 peluang pekerjaan telah dicipta di samping 24 penyelesaian dihasilkan untuk menangani cabaran masyarakat dan sektor yang dihadapi negara.
“Sebagai contoh, MSD Innovation Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi pertanian yang menggunakan sistem Smart Urban Farming di enam lokasi telah membangunkan Manual Latihan Pertanian Bandar Pintar (SUF) yang mengandungi modul Teknikal dan Keusahawanan untuk membabitkan peserta B40 yang berusia antara 20 hingga 60 tahun sebagai petani pintar,” katanya.
Selain itu, Poladrone (kini Aonic), syarikat pemaju teknologi dron, telah menerima bantuan dari segi pembangunan garis panduan Operasi Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dan Operasi UAS Pertanian Arahan Penerbangan Awam (CAD) untuk menghasilkan Sijil Kerja Udara (AWC) yang kini mewujudkan 30 peluang pekerjaan dalam pengendalian dron untuk sektor pertanian.
Syarikat pembekal perkhidmatan dron, Meraque pula berjaya membangunkan Teknologi Semburan Dron Hibrid pertama di Malaysia melalui program NTIS.
Meraque turut terbabit secara langsung dalam inisiatif Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Dron (PTK2Dron) yang diselaraskan oleh MOSTI dan MRANTI bagi memberi bantuan misi menyelamat ketika banjir pada Disember 2021 di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Pada majlis sama, Lih Kang turut melancarkan Buku Dua Tahun NTIS serta menyaksikan perjanjian kerjasama antara NTIS, diwakili MRANTI, bersama TIME dotCom Berhad (TIME), serta MRANTI bersama Innovation and Technology Managers Association (ITMA) dan Asiatech.
TIME sebagai Rakan Kongsi Rangkaian Pecutan Inovasi bergabung tenaga bersama NTIS untuk memacu kerjasama dalam pelbagai kapasiti, berkhidmat sebagai rakan kongsi Teknologi, Rakan Kepakaran dan Rakan Fasiliti.
Kerjasama MRANTI bersama Asiatech dan ITMA pula membabitkan persetujuan semua pihak untuk melaksana dan mempromosi kerjasama akademik dan strategik untuk program pensijilan Technology Commercialisation Associate (TCA).