SENSLAR TAWAR PANEL SOLAR TERAPUNG KE ARAH TINGKATKAN INISIATIF TEKNOLOGI HIJAU
- by XM Admin
Pautan
KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) – Jenama panel solar Senslar dengan teknologi terapung pada permukaan air dihasilkan oleh syarikat Ikhlas Jati Sdn Bhd merupakan inisiatif teknologi hijau untuk membantu negara memacu ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui.
Ikhlas Jati ditubuhkan pada 2007 merupakan sebuah syarikat pembekal barang saintifik, instrumen, bahan kimia dan radas makmal kepada agensi kerajaan dan sektor swasta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, S. Shanmuganathan berkata syarikat telah menceburi industri tenaga boleh diperbaharui selepas mendapat peluang untuk mengetengahkan teknologi baharu daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten) iaitu Senslar.
“Teknologi panel solar terapung ini masih baru dan walaupun sudah ada di negara Jepun, ia berbeza kerana Senslar mempunyai sensor atau algoritma di bawah panel yang membolehkan panel untuk ‘tilt and rotate’ mengikut pergerakan matahari.
“Sebagai pelopor, kami mahu memperkenalkannya kepada pasaran tempatan supaya syarikat atau industri dapat beralih ke arah inisiatif teknologi hijau,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata solar merupakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampu mengurangkan pelepasan karbon di udara.
Katanya selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), mana-mana syarikat atau industri yang mengguna pakai teknologi solar berkenaan boleh digelar sebagai syarikat hijau.
Kini, Senslar sudah dibentuk sebagai harta intelek (IP) dan hanya boleh terapung di tasik atau empangan — ia tidak sesuai untuk terapung di tempat yang mempunyai aliran deras seperti sungai.
“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kami berharap untuk membawa teknologi tempatan ini ke peringkat antarabangsa, memperkenalkan Senslar ini kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Shanmuganathan berkata selepas bersetuju untuk membawa Senslar iaitu teknologi berskala makmal Uniten kepada skala industri, Ikhlas Jati kemudiannya telah mendapat bimbingan dan geran daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
“MTDC memainkan peranan penting untuk kami memperkenalkan teknologi berskala makmal ini kepada industri.
“Saya menyarankan usahawan muda untuk melaksanakan usaha wajar mereka dan merebut peluang yang ditawarkan agensi kerajaan seperti MTDC kerana banyak geran dan skim latihan yang diberikan,” katanya.
Ikhlas Jati adalah antara penerima dana Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).
MTDC, sebagai rakan pembiayaan utama inisiatif tersebut akan menyediakan platform termasuk pembiayaan bagi produk/teknologi/perkhidmatan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau inovasi tempatan dari peringkat prototaip ke peringkat pengkomersialan.
— BERNAMA