Sireh Emas, Euglena sasar jual 100,000 kotak produk Dr Kengo tahun ini

by XM Admin

Pautan
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah mengumumkan kerjasama antara syarikat ekosistemnya, Sireh Emas Marketing Sdn Bhd (Sireh Emas) dan Euglena Co Ltd, Japan (Euglena) dalam menghasilkan produk yang mendapat pensijilan halal, Dr Kengo.
Dr Kengo ialah serbuk nutrisi seimbang yang mengandungi Ishigaki Island euglena, sejenis makanan mikroalga yang bertujuan untuk menyelesaikan isu kesihatan di negara-negara Islam pada masa hadapan, ia disediakan dalam perisa strawberi yang menyegarkan dan dijual pada harga RM50 untuk satu kotak yang mengandungi tujuh hidangan.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Mohammad Hazani Hassan berkata sejak Mei 2022, MTDC telah memperkenalkan beberapa syarikat kepada Euglena untuk menjalinkan kerjasama dalam membangunkan produk pemakanan di Malaysia.
“Hari ini kami berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama ini dengan syarikat penerima dana halal MTDC iaitu Sireh Emas.
“MTDC berpendapat kerjasama ini adalah bagus kerana bukan sahaja kami boleh menghasilkan produk tetapi Sireh Emas, penyelidik kami boleh mengetahui lebih lanjut mengenai mikroalga dan jenis produk yang dibangunkan di Jepun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran produk tersebut di sini hari ini.
Mohammad Hazani berkata Malaysia adalah antara negara pertama yang mengeluarkan produk baharu dengan Euglena, Jepun.
Sireh Emas adalah penerima Dana Pembangunan Teknologi Halal MTDC sejak tahun 2019.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sireh Emas Nik Juzailah Juhari berkata sebanyak 100,000 kotak Dr Kengo dijangka dapat dijual di Malaysia tahun ini.
“Kami percaya bahawa makanan harus dianggap sebagai ubat, justeru Sireh Emas dan Euglena bersama-sama akan membangunkan, menghasilkan dan memperkenalkan makanan yang lebih lazat dan berkhasiat untuk semua orang menjalani kehidupan lebih sihat.
“Kami akan terus mengeluarkan produk di bawah kategori kosmetik dan farmaseutikal seiring dengan pengembangan perniagaan kami,” katanya.
Euglena ditubuhkan pada tahun 2005, ia terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran dan penjualan produk mikroalga untuk makanan dan kosmetik.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai teknologi Euglena Dr Kengo Suzuki berkata MTDC telah menjadi rakan kongsi terbaik kepada Euglena dan telah memberi nasihat mengenai pembangunan teknologi dan landskap pelaburan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
“Kami berterima kasih terhadap peluang ini yang bermula daripada Euglena dan MTDC dalam mengenal pasti syarikat teknologi Malaysia yang mampu bekerjasama dengan Euglena dalam mengkomersialkan produk R&D syarikat itu.
“Kerjasama itu akan merangsang lebih banyak perkongsian antara syarikat teknologi Malaysia dan entiti Jepun,” katanya.
Pada Mei 2021, MTDC dan anak syarikat Euglena, Real Tech Holdings Co Ltd telah menandatangani perjanjian untuk merasmikan penyertaan MTDC dalam Real Tech Fund Investment Partnership Global 1 (Real Tech Global Fund).
Penyertaan tersebut memberi peluang kepada MTDC untuk melabur bersama dengan syarikat Jepun dan kumpulan perindustrian dalam syarikat berasaskan teknologi.
— BERNAMA




