Graduan TVET layak diberi gaji minimum RM3,000 – Ahmad Zahid
- by XM Admin
Pautan
KUALA LUMPUR: Majikan atau pemain industri disaran memberi gaji minimum RM3,000 sebulan untuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata graduan TVET adalah tenaga kerja mahir dan bukannya pekerja daripada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
“Mereka akan mempertingkatkan produktiviti pada industri dan dalam jangka masa panjang akan mengurangkan kos untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan akhir sesuatu industri yang terbabit dalam TVET.
“Perkara ini adalah munasabah kerana graduan TVET bukan daripada pekerja biasa dan ia adalah pekerja yang telah terlatih dan sesuai dengan kehendak pasaran,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) Transformasi Program TVET Antara Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Bersama Kerajaan di Dewan Kuliah Utama, Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, pihaknya juga turut memberi peluang kepada pihak industri dan tidak mahu perkara itu diperundangkan.
“Perkara berkenaan sekali gus akan mengurangkan kos kerana graduan berkenaan sudah terlatih, maka adalah munasabah jika gaji minimum berkenaan diberi kepada pekerja berkemahiran tinggi yang telah mengikuti kursus TVET.
“Cadangan berkenaan adalah azam kerajaan dan tidak mahu mereka yang tiada latihan mendapat gaji yang tinggi sedang yang telah mendapat latihan tidak mendapat gaji yang setimpal,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan komited mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2030 dan menggalakkan lebih banyak penyertaan warga tempatan dalam TVET.
“Saya berpandangan bahawa masalah pengambilan pekerja warga asing wajib dikurangkan. Keutamaan mesti diberikan kepada mengguna tenaga kerja tempatan.
“Saya hargai apa yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia yang telah menyusun atur agar hanya bidang 3D sahaja yang menggunakan tenaga kerja asing.
“Manakala yang selebihnya, harus diberikan 100 peratus kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.