10 MOU kerjasama TVET ditandatangani syarikat GLC dan syarikat swasta

KUALA LUMPUR: 10 Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dimeterai dengan kerajaan dalam usaha memperkasakan industri TVET di negara ini.
Pautan

KUALA LUMPUR: 10 Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dimeterai dengan kerajaan dalam usaha memperkasakan industri TVET di negara ini.

Pemeteraian memorandum ini melibatkan rakan industri strategik seperti Petronas, Gamuda Berhad, Sunway Services, DRB Hicom, Berjaya Corporation, Redbeat Academy Sdn Bhd (Airasia Academy), Daikin Malaysia Sdn Bhd, Bermaz Auto Berhad, Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB).

Memorandum kerjasama ini ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar yang mewakili pihak kerajaan.

Ia turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET).

Datuk Seri Ahmad Zahid turut menyuarakan keyakinan, melalui penglibatan dan komitmen syarikat-syarikat berkenaan akan menjadi pemangkin kepada GLC dan syarikat swasta lain untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan serta memainkan peranan dalam memperkasakan industri TVET di negara ini.

“Memorandum kerjasama yang dimeterai ini akan menjadi payung kerjasama meliputi semua ILKA di bawah 12 kementerian dan turut akan menjadi pintu masuk kepada  GLC dan syarikat swasta untuk menjalin kerjasama bersama institusi atau agensi dan Kementerian” katanya dalam ucaptama beliau di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur.

Difahamkan, melalui memorandum kerjasama ini, rakan strategik industri akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program TVET negara  melalui pembangunan kurikulum dan bahan latihan, sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, sumbangan khidmat kepakaran, pembangunan kompetensi tenaga pengajar serta pembiayaan program latihan.

Penglibatan dan kerjasama ini akan mencakupi pelbagai bidang utama di dalam program TVET seperti minyak dan gas, automotif, eletrik, hospitaliti, pembinaan, aeroangkasa, industri 4.0, kejuruteraan pembangunan perisian dan sistem binaan berindustri (IBS).

Pemeteraian MOU kerjasama ini adalah permulaan yang diambil oleh Kementerian Sumber Manusia dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk memuktamadkan 50 Memorandum Kerjasama pada tahun 2023 sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2023.