Biogenes sasar sayap di rantau Asia dengan teknologi aptamer

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Penyedia teknologi penderia Biogenes Technologies Sdn Bhd menyasarkan untuk mempertingkat pengkomersialan teknologi kit ujian menggunakan aptamer yang dibangunkannya, APTSENSE di rantau Asia dalam tempoh 5-10 tahun akan datang.
Pautan


KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Penyedia teknologi penderia Biogenes Technologies Sdn Bhd menyasarkan untuk mempertingkat pengkomersialan teknologi kit ujian menggunakan aptamer yang dibangunkannya, APTSENSE di rantau Asia dalam tempoh 5-10 tahun akan datang.

Pengasas dan Ketua Pegawai Komersial Adrian Joseph berkata syarikat pemula niaga itu setakat ini telah mengembangkan sayapnya ke Australia, Indonesia dan Filipina.

Aptamer merupakan serpihan asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh dibentuk untuk melekat pada pelbagai bentuk organisma dalam badan termasuk virus, bakteria serta hormon.

Biogenes menggunakan aptamer tersebut sebagai bahan pelekat untuk mengenal pasti virus dan bakteria lain menggunakan teknologi biopenderianya.

Malah, APTSENSE mampu melakukan ujian menyamai kit ujian pantas untuk mengenal pasti virus dan bakteria dalam masa 20 minit.

“Biogenes telah membangunkan tiga teknologi pelantar iaitu APTCAD, APTFAP dan kit APTSENSE.

“Pada masa ini, Biogenes dalam proses untuk menggerakkan 300 aptamer yang kita ada pada kit ujian pantas ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Berkongsi perjalanan syarikat itu, Adrian berkata pihaknya telah bertindak menggabungkan teknologi biopenderia mereka dan aptamer ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mana sampel virus COVID-19 agak sukar untuk diperoleh.

“Apa yang kita buat adalah berunding dengan pihak Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Pada masa itu, MTDC ada memperkenalkan satu dana yang dipanggil NTIS Sandbox.

“Kita memohon dana ini dan dengan nasihat MTDC, kita mengubah suai satu makmal yang mampu menghasilkan virus tanpa perlu kita import dari luar negara,” katanya.

Pada masa ini, Biogenes giat berusaha untuk mempertingkat pengkomersilan teknologi tersebut agar lebih ramai dapat memanfaatkannya, terutama di Malaysia.

Menurutnya, syarikat tersebut menggunakan sistem digital yang merekodkan tahap kesihatan diri pengguna bagi proses pemantauan kendiri serta memudahcara bagi industri kesihatan untuk mengenal pasti virus dan bakteria.

Aplikasi APTSENSE itu juga telah membantu pelanggan-pelanggan Biogenes yang juga pemain industri penyelidikan dan pembangunan dalam membangunkan teknologi mereka sendiri.

“Sebagai contoh, seorang penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia sedang mengkaji kaedah lebih mudah untuk mengesan virus HPV yang ketika ini menggunakan kaedah ‘pap smear’ atau calitan pap.

“Menerusi penggunaan kit APTSENSE dan aptamer syarikat ini, beliau dapat menghasilkan satu kit menggunakan air kencing supaya lebih ramai wanita dapat diuji.

“Proses itu masih dalam ujian makmal tetapi kami dapat menambah kebolehupayaan pelanggan untuk berfikir dengan inovatif,” katanya.

Biogenes berhasrat untuk menarik serta membimbing lebih banyak penuntut pelatih industri universiti serta golongan belia lain pada masa akan datang untuk membangunkan teknologi sendiri menggunakan APTSENSE.

“Jika mahu membangunkan teknologi, apa paling penting adalah bersabar. Ini kerana pengkomersialan teknologi bioteknologi ini mengambil masa yang lama,” katanya.

— BERNAMA