Saham TT Vision catat premium luar biasa

KUALA LUMPUR: TT Vision Holdings Bhd (TTVHB) mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan kukuh, dibuka pada RM1.49 bagi premium 338.24 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 34 sen sesaham.
Pautan

Koon Yin (lima dari kiri) pada majlis penyenaraian TTVHB di Bursa Malaysia, hari ini - Foto ihsan TTVHB
Koon Yin (lima dari kiri) pada majlis penyenaraian TTVHB di Bursa Malaysia, hari ini – Foto ihsan TTVHB

KUALA LUMPUR: TT Vision Holdings Bhd (TTVHB) mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan kukuh, dibuka pada RM1.49 bagi premium 338.24 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 34 sen sesaham.

Pada pembukaan hari ini, pengeluar peralatan mesin dan perkhidmatan yang berkaitan itu menyaksikan 7.05 juta sahamnya diniagakan.

TTVHB berjaya mengumpul RM28.7 juta daripada IPO itu melalui terbitan awam 84.5 juta saham baharu pada 34 sen sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif TTVHB, Goon Koon Yin, berkata daripada jumlah itu, 37.2 peratus atau RM10.7 juta daripada hasil akan digunakan untuk modal kerja.

Beliau berkata, 27.9 peratus (RM8 juta) adalah untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), 20.9 peratus (RM6 juta) untuk pembayaran balik pinjaman bank, tiga peratus (RM900,000) bagi aktiviti pemasaran dan baki 11.1 peratus (RM3.2 juta) untuk membiayai perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

“Kami berhasrat untuk terus mengembangkan kumpulan ke tahap yang lebih tinggi dan meningkatkan penguasaan bahagian pasaran dalam semikonduktor, optoelektronik dan sel solar di Amerika Syarikat (AS), Jerman, Korea Selatan, China dan Malaysia,” katanya.

Koon Yin berkata, penyenaraian TTVHB adalah tepat pada masanya kerana kumpulan berhasrat untuk memanfaatkan status penyenaraian ini.

Beliau berkata, kumpulan juga ingin mengekalkan momentum pertumbuhan pada masa hadapan.