TT Vision dapat kelulusan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 15 Nov – TT Vision Holdings Bhd. (TTVHB) memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities) untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Pautan

KUALA LUMPUR 15 Nov – TT Vision Holdings Bhd. (TTVHB) memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia
Securities Bhd. (Bursa Securities) untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Ia akan menyaksikan pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) terdiri daripada terbitan awam sebanyak
84.50 juta saham baharu, mewakili kira-kira 18.06% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan
semasa penyenaraian.

Sebanyak 23.4 juta daripada jumlah itu atau 5% akan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai
dengan sekurang-kurangnya 50% daripadanya akan diketepikan secara ketat untuk pelabur awam
bumiputera manakala 18.1 juta saham atau 3.87% akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah,
pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

Baki sebanyak 43 juta saham atau 9.19% akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur
terpilih.

Tawaran untuk penjualan 10.5 juta saham sedia ada, bersamaan dengan kira-kira 2.24% daripada modal
saham terbitan yang diperbesarkan, akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur
terpilih melalui ejen penempatan tunggal, KAF Investment Bank Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif TTVHB, Goon Koon Yin berkata, kelulusan untuk disenaraikan itu membolehkan
kumpulan memulakan fasa pertumbuhan seterusnya dan percaya pelaksanaan IPO akan membantunya
mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri peralatan mesin penglihatan.

Katanya, permintaan global terus meningkat untuk semikonduktor dengan pengeluaran besar-besaran
kenderaan elektrik, dan peningkatan penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif.

“Oleh itu, kami percaya industri pembuatan peralatan mesin ini khususnya berkaitan pemeriksaan
optoelektronik, litar bersepadu dan sel solar akan mendapat manfaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KAF Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal
untuk pelaksanaan IPO ini.

TTVHB ialah sebuah syarikat pemegangan pelaburan manakala anak-anak syarikatnya terlibat terutamanya
dalam pembangunan dan pembuatan peralatan penglihatan mesin dan penyediaan produk dan
perkhidmatan berkaitan.

Selain Malaysia, syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang ini juga mengeksport produknya ke Korea
Selatan, Hong Kong, Jerman, China, Filipina, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Jepun. –
DagangNews.com