Program MTDC Road2Growth 2022 tingkatkan penggunaan teknologi tempatan Industri 4.0
- by XM Admin
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi ahli ekosistem MTDC bagi memperkasakan penggunaan teknologi tempatan menerusi program MTDC Road2Growth (R2G) Zon Tengah.
Pada program R2G ini, MTDC bersama-sama syarikat ekosistemnya yang terdiri daripada rakan niaga Co9P dan syarikat penerima dana Inovasi Sandbox Teknologi Nasional (NTIS) turut mengadakan Pameran Solusi i4.0 di Experience Hub.
Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata program R2G ini bertujuan untuk membangunkan solusi bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dan tempatan dengan memperkenalkan pembangunan produk automotif dan robotik oleh syarikat tempatan.
“Dengan menghasilkan robot, kita dapat membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang robotik selain dapat membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bekerjasama dengan syarikat tempatan lain untuk membangunkan syarikat mereka seperti melalui kerjasama sebelum ini melalui penggunaan robotik di restoran, hospital dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Program MTDC Road2Growth Zon Tengah di Pusat Teknologi UPM-MTDC Serdang di sini hari ini.
Norhalim turut berkata melalui program ini, peserta dapat bersemuka dengan MTDC untuk mendapatkan khidmat nasihat perniagaan, mencari peluang perniagaan dan kerjasama baharu dengan pihak industri yang memberikan bimbingan dalam mengadaptasi teknologi terutamanya berkaitan Industri 4.0 (i4.0) dalam perniagaan mereka.
Katanya jumlah penyertaan bagi program R2G ini adalah seramai 200 orang bagi sesi usahawan pada pagi ini dan MTDC menyasarkan untuk menempatkan graduan di syarikat-syarikat teknologi tempatan pada nale siri jelajah R2G.
Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Aminuddin Hassim berkata matlamat untuk menjadi negara berteknologi tinggi memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan merangkumi keseluruhan rantaian nilai khususnya para graduan yang merupakan tonggak negara.
Program R2G berperanan untuk memastikan graduan, penyelidik dan usahawan PKS tidak ketinggalan dalam menerima manfaat dan bimbingan daripada program yang disediakan khususnya dalam i4.0 dan pendigitalan.
Pameran berbentuk i4.0 ini mengetengahkan teknologi robotik, automasi, percetakan 3D, realiti perantaraan, pertanian pintar dan teknologi dron.
Para peserta turut berpeluang untuk mendengar penerangan dan mendapatkan maklumat secara terus sepanjang program ini seperti ‘Landskap Modal Teroka di Malaysia’,‘Cabaran Pembiayaan dalam Kalangan Syarikat Berteknologi’, ‘Kenapa Anda Perlu Menjadi Rakan Co9P?’ dan banyak lagi.
— BERNAMA