T-Robot bantu kelangsungan PKS harungi getir pandemik

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Bermula sebagai syarikat pemaju automasi serta robotik tempatan, Techcapital Resources (T-Robot) memainkan peranan signifikan dalam membantu kelangsungan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mengharungi saat getir pandemik dan pasca COVID-19 melalui penggunaan robot.

Pautan

Kredit : T-Robot

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Bermula sebagai syarikat pemaju automasi serta robotik tempatan, Techcapital Resources (T-Robot) memainkan peranan signikan dalam membantu kelangsungan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mengharungi saat getir pandemik dan pasca COVID-19 melalui penggunaan robot.

Pengarah Eksekutif T-Robot, Haz Hashim berkata syarikat itu membekalkan produk automasi robot industri yang menggunakan mekanisma ringkas dan tidak memerlukan kos yang tinggi, sesuai dengan keperluan PKS domestik.

“Berdasarkan penelitian pasaran, kami dapati PKS sangat memerlukan penyelesaian asas dan mudah untuk membantu operasi mereka dalam melaksanakan kerja-kerja perkilangan khususnya, justeru, T-Robot mula mencipta produk automasi robot industri.

“Walaupun robot industri ini ringkas serta tidak memerlukan kos yang tinggi, impaknya sangat besar bagi PKS kerana mereka memerlukan penyelesaian automasi serta robotik dalam menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja semasa pandemik kerana sekatan pergerakan dan juga selepas pandemik memandangan ramai pekerja asing sektor berkenaan pulang ke negara masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Menurut Haz, sistem automasi yang dicipta syarikat T-Robot sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah kebergantungan PKS kepada pekerja dan dalam masa yang sama mampu meningkatkan produktiviti sektor tersebut.

“PKS dapat terus berdaya saing dengan rantaian bekalan antarabangsa dan dapat terus kekal beroperasi sepanjang tempoh pandemik yang bermula pada awal 2020, serta membantu pertumbuhan negara setelah pembukaan semula ekonomi dilaksanakan,” katanya.

Selain menyediakan perkhidmatan penyelesaian robotik dan automasi, T-Robot yang ditubuhkan pada 2015, turut mengadakan kolaborasi bersama berapa agensi lain bagi menyediakan latihan teknikal dalam bidang Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan Industri 4.0 bagi merevolusikan sektor PKS seluruh negara.

“Kami menyediakan latihan teknikal secara maya termasuk zikal dengan latihan fizikal berpusat di Centre of 9 Pillars Technopreneur Training Academy. Setakat ini lebih 800 peserta telah mengikuti latihan yang diadakan, yang turut membuka peluang kepada kita melahirkan bakat baharu dalam bidang IoT dan Industri 4.0,” katanya.

Pada 2016, T-Robot turut mendapat suntikan dana daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Jelasnya, selain menyalurkan dana, MTDC turut membantu daripada segi fasilitasi pasaran selain memainkan peranan sebagai perantara yang menghubungkan PKS yang memerlukan
perkhidmatan T-Robot.

“MTDC menghubungkan kami dengan syarikat PKS yang memerlukan servis kami dan beri peluang kepada kami untuk terlibat dalam pasaran termasuk syarikat dari luar negara. “Dengan kerjasama MTDC, kami telah berjaya mengeksport produk kami hingga ke Timur Tengah dan juga negara-negara Afrika yang menggunakan produk T-Robot dalam bidang pembelajaran serta perkilangan,” katanya.

Selain itu, katanya, syarikat juga mendapat manfaat daripada bakat tempatan yang mahir dan mampu menambahbaik produk berasaskan teknologi robotik yang dicipta, sekaligus membuka ruang untuk T-Robot mendapatkan pasaran lebih luas termasuk di luar negara.

Untuk jangka masa panjang, Haz berkata T-Robot menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mahir dalam bidang Industri 4.0 yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekaligus merealisasikan hasrat syarikat untuk menukar landskap Malaysia sebagai negara pengguna teknologi kepada antara peneraju industri robotik dan automosi antarabangsa.

“Apabila berubahnya landskap negara daripada pengguna teknologi kepada negara pengeluar teknologi, dari[ada situ kami akan dapat tingkatkan lagi peluang pekerjaan kepada bakat-bakat tempatan,” tambahnya.

T-Robot menjadi sebahagian daripada komuniti ‘Center of 9 Pillars’ (Co9P) yang diperkenalkan MTDC pada 2018. Co9P merupakan satu hab komuniti yang membangunkan I4.0 bagi meningkatkan pertumbuhan teknologi organisasi kecil dan sederhana.

Sembilan tonggak Industri 4.0 di dalam Co9P terdiri daripada robot autonomi, simulasi, sistem integrasi, IoT, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, data besar dan realiti berperantara.

— BERNAMA