MTDC adakan bengkel teknologi industri 4.0 di Uzbekistan

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) — Lebih 50 perwakilan dari Uzbekistan menghadiri Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) Ke-17 anjuran Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) di ibu negara negara mereka, Tashkent.

Pautan

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) — Lebih 50 perwakilan dari Uzbekistan menghadiri Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) Ke-17 anjuran Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) di ibu negara negara mereka, Tashkent.

MTCP, yang dilancarkan pada September 1980 sebagai sebahagian daripada komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan, adalah platform untuk berkongsi pengalaman pembangunan negara dengan negara membangun yang lain.

MTCP Ke-17, diadakan dari 19-21 Okt dengan tajuk “Next New Normal – Accelerating the Adoption of Industry 4.0 Technology in Micro, Small and Medium Enterprises (MSMEs) Workshop for Uzbekistan”, adalah tepat pada masanya, terutamanya dalam persekitaran kemelesetan ekonomi akibat COVID-19, menurut MTDC dalam kenyataan di sini hari ini. Katanya PMKS dalam sentimen bertahan, perlu berubah dan membina semula perniagaan mereka berikutan pandemik dan kesan selepasnya.

Keperluan untuk mengubah operasi perniagaan mereka dianggap perlu untuk kelangsungan mereka dan ini juga merupakan peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka di peringkat global dengan menggunakan kaedah digital untuk menyediakan lebih banyak peluang perniagaan, katanya.

Pada bengkel tersebut, MTDC menekankan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh PMKS seperti kekurangan sumber manusia berbakat terutamanya mereka yang mempunyai pengetahuan Industri 4.0 (i4.0), melaksanakan amalan standard COVID-19 dalam operasi perniagaan mereka dan menghadapi dunia yang amat kompetitif melalui peningkatan produktiviti dan kecekapan. Menurut MTDC, perwakilan tersebut diperkenalkan dengan penyelesaian i4.0, kaedah pemasaran dan pengesahan perniagaan, di dalam dan di luar negara, untuk memenuhi keperluan mereka.

“Pada akhir bengkel itu, para peserta akan berpeluang untuk bekerjasama dengan syarikat ekosistem MTDC.

“Matlamat MTDC ialah membangunkan PMKS yang dapat menerima teknologi yang sesuai dengan mereka, dengan antara saluran yang dikenal pasti ialah melalui kerjasama dengan komuniti di bawah Pusat 9 Tonggak MTDC,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus menyatakan harapan bahawa peserta MTCP akan menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh untuk terus menyumbang kepada negara mereka, dengan bantuan pakar daripada MTDC.

— BERNAMA