Usahawan PMKS perlu kuasai teknologi IR4.
- by XM Admin
KUANTAN – Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu menguasai pelbagai teknologi baharu khususnya dalam bidang pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.
Pengarah Bahagian Teknologi Teroka, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Mohammad Hazani Hassan berkata, segenap rangkaian ekonomi kini berdepan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang membawa pelbagai teknologi baharu.
Menurutnya, penggunaan IR4.0 penting bagi meningkatkan keupayaan syarikat untuk berdaya saing sekali gus mampu menambah produktiviti.
“Usahawan perlu guna IR4.0 (teknologi). Jika tidak, mereka akan ketinggalan dari segi peningkatan dan penghasilan produk baharu berbanding usahawan yang sudah menggunakan teknologi ini.
“Mereka (usahawan) perlu belajar dan melihat negara maju yang sudah menggunakan teknologi dalam penghasilan produktiviti mereka seperti China dan Amerika Syarikat. Jadi, produk yang kita hasilkan juga tidak akan ketinggalan,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan program Road2Growth MTDC zon Pantai Timur di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Mohammad Hazani berkata, penganjuran acara tahunan Program Road2Growth MTDC memberi fokus kepada peluang pembangunan teknologi dan perniagaan melalui kerjasama syarikat-syarikat teknologi ahli ekosistem MTDC.
Katanya, Kuantan adalah lokasi ke lima program Road2Growth MTDC ini diadakan dan peserta terdiri daripada graduan, penyelidik, PMKS dan syarikat pemula.
Tambah beliau, peserta berpeluang mendapat informasi terperinci mengenai solusi teknologi tempatan di dalam bidang robotik, automasi, pencetakan 3D, teknologi dron dan sebagainya.
“Kita sebenarnya ingin mewujudkan ekosistem yang mampan memfokuskan kepada bakat, kemahiran dan inovasi serta bersaing di pasaran global.
“Selain itu, kita juga mahu menghasilkan modal insan berkualiti dan berbakat dalam IR4.0 dengan meningkatkan penyerapan penggunaan industri tersebut di negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap MTDC melalui program ini dapat melahirkan golongan tenaga mahir dalam bidang teknologi dan digital seiring IR4.0.
Tagged my, zsinarHarian