PKS perlu terokai IR 4.0 untuk tingkat produktiviti – MTDC
- by XM Admin
KUANTAN – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara ini diseru menerokai Industri (IR 4.0) untuk menambah baik produktiviti pengeluaran selain meningkatkan keupayaan syarikat untuk lebih berdaya saing.
Pengarah Bahagian Modal Teroka, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Mohammad Hazani Hassan berkata, IR 4.0 merupakan cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini, sekali gus menuntut perubahan sejajar transformasi digital dan teknologi baharu.
“Kita melihat Industri 4.0 merupakan salah satu teknologi baharu yang akan membangunkan kebanyakan syarikat di Malaysia, namun banyak syarikat di Malaysia yang mungkin berada di peringkat 2.0.
“Untuk membawa ke peringkat 4.0, kita kena berkongsi, belajar dan melaksanakan teknologi itu,” katanya kepada media dalam siri jelajah pameran Program Road2Growth (R2G) 2022 Zon Pantai Timur yang diadakan di The Zenith Hotel, di sini hari ini.
Katanya, MTDC mahu memperluas promosi berkaitan solusi IR 4.0 yang akan memberi manfaat kepada syarikat pemula, PMKS serta graduan pendidikan tinggi melalui program tersebut.
“Peserta berpeluang mendapat informasi terperinci mengenai solusi teknologi tempatan di dalam bidang robotik, automasi, pencetakan 3D, realiti berperantara dan teknologi dron,” jelasnya.
Selain itu, dalam program tersebut, para graduan boleh menghadiri sesi masterclass Pemasaran, yang mana mereka akan diajar teknik dan taktik pemasaran strategik. Akademi Latihan Teknopreneur (Tentra) juga akan menjalankan program latihan, pensijilan professional serta program kelayakan yang berasaskan IR 4.0.
“Kalau di institusi pengajian tinggi, graduan akan belajar dari segi teori sahaja. Di sini boleh dipraktiskan. Kita ada produk, kita ada cara. Jadi mereka akan memperoleh pengetahuan dan pengalaman berkenaan produk, teknologi dan pasaran secara menyeluruh dan holistik,” tambahnya.
Menurut Mohammad Hazani, sesi masterclass Modal Teroka pula akan memberi informasi mengenai dana dan pelaburan yang di tawarkan oleh MTDC.
“Kita juga akan berkongsi dana pembiayaan yang ada meliputi dana kerajaan, agensi di bawah MOSTI, MoF, MEDEC. Dalam masa sama, banyak program yang ada boleh dikongsi,” katanya.
Mengulas mengenai kepentingan industri 4.0 kepada syarikat pemula serta PMKS, beliau berkata, ia jelas membantu syarikat dalam penjimatan kos penghasilan produk termasuk penggunaan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi.
Misalnya, mesin yang lama boleh jadi baharu dengan Internet of Things (IoT) 4.0. Itu membantu syarikat menjimatkan kos dan teknologi percetakan 3D yang mempu menghasilkan sesuatu produk dengan lebih cepat tanpa perlu melalui proses penghasilan acuan.
Justeru, Mohammad Hazani menyeru mereka yang mahu meneroka peluang perniagaan dalam industri 4.0 serta melahirkan golongan tenaga mahir dalam bidang teknologi dan digital seiring dengan IR 4.0 untuk menyertai program di bawah MTDC pada September ini.
Peseta yang berminat boleh mendaftar di www.mtdc.com.my/r2g2022 untuk menyertai program dan pendaftaran adalah percuma.- MalaysiaGazette
Tagged my, zmalaysiaGazette