MTDC sasar penyenaraian dua syarikat pelaburan

SERDANG: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menyasar untuk menyenaraikan dua syarikat penerima pelaburannya di Bursa Malaysia pada separuh kedua tahun ini.

Pautan

Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)

SERDANG: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menyasar untuk menyenaraikan dua syarikat penerima pelaburannya di Bursa Malaysia pada separuh kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, berkata satu syarikat akan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia manakala satu lagi di Pasaran ACE.

“Salah satu syarikat ini bergiat dalam industri 4.0 dengan membekalkan penyelesaian dan produk kepada syarikat tempatan serta syarikat multinasional antarabangsa (MNC) di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidilfitri MTDC di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dana pelaburan MTDC, Norhalim berkata, pihaknya merancang untuk melancarkan satu dana baharu berjumlah RM100 juta menjelang akhir tahun ini.

“Sebenarnya, kami banyak berusaha dengan rakan niaga dari luar dan berharap menjelang akhir tahun ini, akan dapat melancarkan satu dana dengan kerjasama rakan niaga asing.

“Dana ini adalah untuk industri 4.0 dan pembiayaan beretika yang mana kami ingin menekankan pengembangan perniagaan di dalam bidang berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Kami sasar saiz dana ini adalah sekurang-kurangnya RM100 juta sebagai permulaan kerana apabila bermula dengan dana baharu, pelabur akan melihat prestasi syarikat yang dilaburkan,” katanya.

Norhalim berkata, MTDC mempunyai kelebihan kerana tidak perlumencari syarikat, sebaliknya sudah ada syarikat yang bersedia untuk dilaburkan.

“Kami kini mahu mencari rakan untuk melabur ke dalam syarikat. Contohnya, kami ada sebuah syarikat di Johor yang menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai syarikat ‘Ocean Bound Plastic’ pertama di dunia.

“Kami sedang bekerjasama dgn syarikat ini utk mendapatkan pelabur dari dalam dan luar negara. Ini adalah projek pertama kami dalam bidang ESG yang mendapat pengiktirafan,” katanya.

Sementara itu, Norhalim turut menekankan kepentingan untuk syarikat pelaburan di bawahnya supaya bekerjasama sesama sendiri biarpun bersaing dalam perniagaan.

“Kami mamhu membudayakan ‘coopetition’ (kerjasama dalam kalangan syarikat yang bersaing), iaitu bersaing tetapi pada masa sama boleh bekerjasama.

“Samsung dan Apple bersaing, namun mereka boleh bekerjasama,” katanya.