RM20 juta diperuntukkan kepada 200 usahawan pertanian

Astro Awani – 7 April, 2021

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memperuntukkan RM20 juta kepada 200 usahawan dalam merealisasikan pengaplikasian amalan moden dan pintar dalam sektor pertanian.

Ekoran itu, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Agrobank pada Rabu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai kerjasama untuk mempromosikan program pembangunan usahawan bagi tujuan merancakkan amalan teknologi industri 4.0 di sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, menerusi kolaborasi itu, Agrobank akan menyediakan kewangan sebanyak RM20 juta kepada usahawan-usahawan sektor pertanian yang dikenal pasti MTDC.

“Ini adalah satu lagi pendekatan kerajaan untuk melahirkan lebih banyak usahawan dalam bidang pertanian berlatarbelakangkan penggunaan teknologi dalam mengaplikasikan industri 4.0 dalam pertanian.

“Setiap usahawan akan menerima pembiayaan maksimum sehingga RM100,000,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU di sini, pada Rabu.

MTDC diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus sementara Agrobank diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar.

Sementara itu, Norhalim berkata, MTDC menyediakan pelbagai latihan termasuk perkongsian ilmu pemasaran dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda.

“Sebenarnya program ini merangkumi dari pembangunan sistem, latihan sehingga penjualan.

“Menerusi program ini juga, kita akan membantu usahawan untuk menerima bantuan daripada Agrobank.

“Kadang-kala isunya kita boleh hasilkan, tapi tidak boleh menjual, jadi kita akan bekerjasama untuk menjual sekali,” katanya.

Beliau memberitahu, ia juga merupakan satu program untuk mewujudkan usahawan baharu yang menggunakan teknologi.